Thursday, May 22, 2008

FiRE DRiLL

Pagi tadi, satu kebakaran telah terjadi di Feri Kampong Ujung Jalan, yang membuatkan para pekerja di feri tersebut menjadi panik.

Ahli Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Cawangan Operasi G Daerah Temburong menerima panggilan kebakaran kira kira jam sepuluh pagi tadi dan bergegas ke tempat kejadian. Setelah tiba di tempat kejadian, Pasukan Bomba dan Penyelamat seterusnya telah berjaya menyelamatkan kesemua mangsa yang ada didalam feri tersebut. Bantuan kecemasan juga melibatkan bantuan Pasukan Polis Diraja Brunei serta pasukan kecemasan dari Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam Temburong.

Walaubagaimana pun kebakaran ini sebenarnya hanyalah satu senario latihan untuk ahli-ahli pasukan Bomba dan Penyelamat di Daerah ini agar lebih cekap dan meningkatkan lagi kepakaran mereka dalam menangani kebakaran yang berlaku ke atas feri. Latihan kebakaran ini dianjurkan oleh Brunei Shell Marketing dengan kerjasama Koperasi Pengangkutan Bersatu Daerah Temburong.

Dalam latihan ini beberapa buah jentera bomba dan dua buah perahu serta dua buah jet telah digunakan, yang mana salah satu perahu digunakan untuk menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap di dalam kapal untuk dipindahkan ke tebing sungai. Sementara itu dalam masa yang sama juga ahli ahli pasukan bomba bertindak menggunakan foam iaitu buih untuk memadamkan api kebakaran tersebut melalui jet.

Dalam temubual bersama RTB, Pegawai Pemerintah Operasi G Daerah Temburong, Penguasa Bomba Dan Penyelamat, Awang Othman Jailani Bin Haji Ismail, menjelaskan bahawa latihan penderuan bersatu ini berjalan dengan lancar walaupun terdapat kelemahan-kelemahan kecil yang perlu diperbaiki. Tambah beliau lagi,latihan besar-besaran penderuan yang kedua juga, besar kemungkinan akan diadakan di tahun depan dengan kerjasama yang padu diantara ahli bomba Daerah ini.

Selain itu menurut beliau lagi, perancangan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi masa akan datang adalah membuat lebih banyak latihan seperti latihan kecemasan bagi meningkatkan lagi tahap beroperasi yang mantap dan berkesan dari setiap Jabatan yang terlibat.